Sabtu, 13 Jun 2009

KELUARGA CEMERLANG - GENERASI GEMILANG™

MUQADDIMAH

Institusi Keluarga merupakan satu institusi yang begitu dominan dan penting bagi setiap bangsa dalam sesebuah negara. Keutuhan ,rasa kekitaan dan persefahaman sesebuah institusi kekeluargaan akan membawa kepada keutuhan, kemantapan, kemajuan dan keharmonian sesebuah negara. Perkembangan gejala sosial yang berlaku secara drastik saban hari di seluruh dunia amnya dan di negara Malaysia khususnya pada hari ini sebenarnya banyak berpunca daripada kelemahan dan kerapuhan sistem kekeluargaan . Rata-rata ibu bapa pada hari ini lebih mengutamakan bidang kerjaya masing-masing dan kurang menumpukan perhatian atau mengambil berat ke atas sejarah harian perkembangan anak-anak sebermula daripada peringkat usia muda mereka lagi .

Selain daripada itu, peningkatan Sistem Keluarga Nuklear ( Nuclear Family System ) telah menjadikan institusi keluarga mengalami kehilangan sokongan dan jagaan daripada ahli-ahli keluarga luas ( Extended Family ), seperti datuk, nenek dan saudara mara. Keadaan ini telah menimbulkan pelbagai implikasi dan cabaran antaranya peranan keluarga sebagai agen sosialisasi dan agen kawalan semakin lemah, keperluan kepada penjagaan anak dan warga tua semakin meningkat, anak-anak khususnya golongan remaja semakin terdedah kepada budaya bebas.

Tanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anak telah diserahkan secara terus kepada pengasuh dan guru-guru sekolah. Ibu bapa merasakan bahawa tugas mereka yang utama ialah cukup dengan hanya menyediakan kemudahan dan keperluan harian anak-anak seperti contohnya makanan, minuman, tempat tinggal, pakaian, persekolahan dan seumpamanya. Terdapat juga kalangan ibu bapa yang tidak pernah mengambil berat soal emosi dan rohani anak-anak. Dewasa ini, senario sebegini telah menyebabkan ibu bapa terpisah jauh daripada anak-anak mereka sendiri walaupun hakikatnya mereka masih duduk di bawah bumbung yang sama. Keberantakan institusi keluarga ini jelas bakal meletakkan masa depan negara di ambang keruntuhan seandainya tiada usaha untuk menanganinya daripada semua pihak khususnya ibu bapa itu sendiri.

DEFINISI KELUARGA CEMERLANG

Sesebuah keluarga yang boleh dikatakan sebagai Keluarga Cemerlang mestilah mencakupi beberapa aspek kecemerlangan hidup . Manakala Generasi Gemilang pula merupakan sebuah generasi contoh yang saling lengkap melengkapi dan terdidik mengikut ‘SibghatuLlah’ serta juga merupakan generasi al Qur’an yang unik yang turut pernah disentuh dan diperjuangkan oleh As syahid Syed Qutb, salah seorang pejuang Ikhwanul Muslim Mesir menerusi bukunya yang bertajuk ‘Petunjuk Sepanjang Jalan’. Generasi yang mampu membawa negara Malaysia menjadi sebuah negara yang dipenuhi barokah dan redha ALlah. Generasi yang mantap aqidahnya dan tidak mudah goyah dengan apa jua mehnah dan tribulasi yang dihadapkan ALlah swt. Generasi yang mampu membawa agama Tauhid ini ke mercu jaya dan mengembalikan hak keTuhanan kepada Yang Maha Berhak serta hak perundangan kepada syariat ALlah yang termaktub di dalam Al Qur’an, As Sunnah, Qias dan Ijmak para ulama’ .

Beberapa kriteria kecemerlangan termasuklah……

01. Cemerlang di sudut hidup beragama – ‘ihya ulumudden’ ;

02. Cemerlang di sudut ilmu pendidikan, penghayatan dan peng’amalan ;

03. Cemerlang di sudut ukhuwwah dan persefahaman ;

04. Cemerlang di sudut ekonomi dan pembangunan ;

05. Cemerlang di sudut sosio-budaya ;

06. Cemerlang di sudut politik ; dan

07. Cemerlang di sudut kesihatan.

PERSIAPAN AWAL MUSLIMAT KE ARAH MELAHIRKAN KELUARGA CEMERLANG.

Dalam kita memperkatakan tentang isu kekeluargaan dan seterusnya berusaha melahirkan sebuah keluarga yang cemerlang, kita tidak dapat lari daripada membicarakan soal tanggungjawab dan prioriti peranan muslimah sebagai agen pemangkin utama untuk membina masyarakat berakhlaq dalam semua bidang kehidupan . Seterusnya menjadi pendokong kuat kepada ajaran Islam yang sebenar. Penyertaan muslimah di dalam PAS adalah merupakan tuntutan syara’ dan bukan hanya sekadar menjadi golongan ‘mutafajjirin’ ( melihat sambil berpeluk tubuh ). Penyertaan ini merupakan antara persiapan dasar muslimat ke arah melahirkan Keluarga Cemerlang – Generasi Gemilang yang mencakupi pelbagai aspek kecerlangan itu tadi.

Muslimat sebenarnya terlibat secara langsung untuk membangkitkan kesedaran keIslaman di kalangan semua individu muslim sekaligus entiti penting bagi sesebuah negara termasuklah institusi kekeluargaan. Bagi mempastikan sebuah institusi keluarga itu terjana dengan sempurna maka usaha awal pembentukan peribadi muslimah yang unggul perlu diutamakan. Ini kerana, golongan inilah yang amat hampir dengan semua ahli keluarganya khususnya anak-anak iaitu bermula daripada mereka berada di dalam kandungan dan seterusnya kepada tahap dan peringkat pertumbuhan yang selanjutnya.

Lantaran kepentingan inilah maka Dewan Muslimat PAS telah menetapkan misi penubuhannya ialah untuk membina masyarakat berakhlak dalam semua bidang kehidupan dan menjadi pendokong kepada ajaran Islam yang sebenar. Manakala visinya pula ialah untuk menegakkan Daulah Islamiyyah di bumi ini menerusi tenaga muslimah. Oleh yang demikian, bagi mencapai hasrat dan matlamat ini maka muslimat perlu bekerja keras dan memperlengkapkan diri untuk menjadi pembentuk anak-anak dan seterusnya terjun ke gelanggang masyarakat dalam setiap lapangan kehidupan. Termasuklah sama ada kita pergi kepada masyarakat petani, ahli perniagaan, kakitangan awam ataupun swasta.

Uslub dakwah yang kita gunakan pula hendaklah bersesuaian dengan situasi dan kondisi golongan sasar kita. Sehubungan dengan itu juga maka para muslimah hendaklah juga mempastikan diri mereka siaga daripada segi ilmu, penghayatan dan peng’amalan. Menjadi role model kepada imej wanita Islam yang beriman dan bertaqwa.

Pintu jihad bagi para muslimah masih tetap terbuka. Apalagi di zaman yang dipenuhi kehidupan yang serba mencabar kini. Muslimah menempati posisi-posisi yang strategik untuk menjadi benteng . Di sa’at para suami sibuk mencari kehidupan nafkah untuk keluarga, mereka mempunyai tanggungjawab mendidik mental dan anak-anaknya agar tidak turut terseret arus deras yang terus mengheretnya ke tubir kehancuran. Inilah bentuk tanggungjawab kaum ibu

yang tidak ringan. Bentuk tanggungjawab ini tidak jauh beratnya dengan para pasukan yang harus menghadapi musuh secara langsung di medan peperangan. Bila kehadiran pasukan musuh dan hiruk pikuk gelombang kedatangannya mampu menggelorakan jiwa untuk melawan, pada situasi sebegitu kita bisa menumbuhkan semangat perjuangan sehebat-hebatnya. Akan tetapi dewasa ini, musuh-musuh sudah ‘ dibungkus kemas ’ dengan topeng-topeng yang menarik. Mereka masuk ke dalam sela-sela kehidupan rumah tangga dengan senjata yang menggoda dan menawan. Televisyen, video, laser disc dan seumpamanya yang pastinya meninggalkan kesan negatif yang jauh lebih banyak berbanding kesan positif. Inilah satu cabaran utama dan besar yang harus ditangani dengan bijak oleh para muslimah dalam mempastikan pertumbuhan sesebuah institusi kekeluargaan itu tidak tercemar dan diracuni tanpa sedar.

Pendek kata, apa jua ibtila’ sama ada bersifat kecil atau besar yang menyentuh soal manusia dan masyarakat , merupakan lumrah kehidupan yang akan dan perlu dilalui oleh para muslimah. Justeru itu, semua hambatan ini meletakkan mereka secara langsung sebagai faktor utama dalam menjayakan sebuah keluarga yang cemerlang dalam erti kata yang menyeluruh.

BEBERAPA KES CONTOH YANG MENUNJUKKAN WUJUDNYA PERMASALAHAN & KEGAGALAN INSTITUSI KEKELUARGAAN

GEJALA SOSIAL :-

Sumbang muhram…. 423 kes ( tahun 96 dan 97 )

Penghidap HIV seramai 21 000 orang ( Mei 1996 )

Pembakaran sekolah di Kulai Besar oleh pelajar……68 remaja ditangkap. Baik

pulih sekolah menelan belanja RM 300 000

27 % remaja perempuan telah menggugurkan anak haram

11 522 pelajar Sek. Ren. Dan 15 543 pelajar menengah terlibat dengan kes JUVANA

1 338 pelajar di Lembah Kelang terlibat menonton video lucah ( 1994 )

350 000 remaja Melayu terlibat dengan dadah

17 000 penagih dadah baru dikesan oleh Agensi Dadah Kebangsaan pada 25 Jun 1998

Kes rogol antara ahli keluarga sebanyak 200 kes pada tahun 1996 ( Sumber :

Jabatan Kebajikan Masyarakat )

10. Malaysia mempunyai 33 saluran TV (penduduk >22 juta orang ), Indonesia ada 6

saluran ( penduduk >202 juta orang ) manakala Thailand ada 5 saluran ( penduduk

>62 juta orang )

11. Penganiyaan terhadap wanita mulai tahun 1989 – 1995 ialah sebanyak 2 700 kes

yang telah dilaporkan .

12. Hanya 10 % daripada >13 juta Muslim di Malaysia yang solat 5 waktu ( kaitkan

dengan kes – kes murtad )

PROGRAM KEMENTERIAN PENERANGAN – RANCANGAN TV ( Berdasarkan Beberapa Rangkaian Pilihan ):-

2.1 82.0 % Berunsur tahyul

2.2 80.7 % Berunsur adegan ganas

2.3 72.8 % Berunsur adegan seks

KESIMPULAN

Berdasarkan apa yang telah dibentangkan di atas, rumusan yang dapat kita buat ialah tentang peri pentingnya sebuah institusi kekeluargaan yang mantap dan cemerlang dalam segala aspek untuk memastikan kemajuan dan kejayaan negara pada masa hadapan . Impian ini pula tidak mungkin tercapai seandainya tiada penglibatan dan kesedaran yang sungguh-sungguh daripada kaum Hawa. Golongan Hawa merupakan golongan yang paling berpengaruh dalam memastikan wujudnya sebuah keluarga yang harmoni, beriman dan bertaqwa. Oleh yang demikian, pendidikan yang sistematik dan berkesan kepada golongan Hawa terhadap persoalan ini haruslah diambil perhatian yang serius untuk kepentingan negara dan generasi akan datang.



NURKILAN:

USTZ MUDA 5454™

HARUAN MAKAN ANAK™



Isu sumbang mahram kembali hangat diperbicarakan. Setiap isu-isu yang berkaitan menjadi santapan. Satu per satu kes-kes sumbang mahram disingkap oleh media massa, bukan sekadar media cetak malahan turut mendapat liputan meluas daripada media elektronik. Pelbagai pihak cuba memberi pandangan dan buah fikiran kenapa dan bagaimana ia boleh berlaku. Tidak kurang juga yang menyarankan beberapa hukuman berat seperti mengkasi pesalah dan rotan di khalayak ramai untuk mengurangkan masalah ini.

Sungguh menghairankan! Bagaimana seorang bapa tergamak menodai anaknya sendiri? Seorang datuk sanggup merogol cucunya sendiri? Seorang abang mencabuli adiknya? Sukar untuk dipercayai. Tapi inilah hakikat senario masyarakat kita hari ini. Siapa yang patut dipersalahkan? Ibu, bapa, anak ataupun jiran tetangga?

Kejadian sumbang mahram ini sebenarnya menunjukkan tanda-tanda kepincangan institusi kekeluargaan masyarakat kita semakin serius dan negara sedang mengalami kemelut gejala sosial yang meruncing. Tidak dinafikan banyak faktor yang menyumbang kepada terjadinya gejala ini, antaranya, faktor persekitaran. Namun akar umbi menyebabkan berlakunya kes haruan makan anak adalah kerana tiadanya iman dan didikan agama dalam diri.

“Akan datang suatu zaman pada ummatku, yang iman mereka hanya tinggal pada zahirnya saja, Islam hanya sebagai simbol mereka saja, Al-Qur’an hanya sebagai hiasan, mereka (ummatku) hanya memikirkan perut mereka, wang yang menjadi agama mereka, perempuan menjadi qiblat mereka, hilang sifat qona’ah, mereka lari menghindari dari ajaran ulama, seolah-olah kambing yang dikejar binatang buas.”

Sesungguhnya iman adalah akar tunjang dalam pembentukkan sahsiah manusia. Iman mampu menjadi penghalang dan benteng kepada kemaksiatan. Tanpa iman manusia umpama layang-layang tanpa tali, terbang mengikut arus tiupan agin tanpa arah dan tujuan. Iman juga turut mengajar manusia menjadi hamba yang mengenali Khaliknya dan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi ini. Sebagaimana sabda Rasulullah saw:

Apabila jiwa kosong tanpa iman, nafsu menjadi raja. Maka akal fikiran akan hilang kewarasannya. Halal dan haram sudah tidak dapat dibezakan lagi. Runtunan nafsu mengelapkan semuanya. Anak yang sepatutnya dilindungi dinodai. Itulah yang terjadi. Firman Allah:

“Sesungguhnya Nafsu itu sangat menyuruh manusia membuat kejahatan.” (Yusuf: 53)

Memang tidak dinafikan bukan mudah untuk kita mendidik nafsu. Oleh sebab itulah nafsu dikatakan musuh utama manusia dalam bermujahadah kepada Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah saw:

“Kita telah kembali dari peperangan yang kecil menuju perang yang paling besar lagi, lalu sahabat bertanya: “Ada lagi ya Rasulullah peperangan yang lebih dahsyat dari Badar?” Nabi menjawab ada, iaitu perang hawa nafsu”.

Ini adalah kerana manusia merupakan benda yang jamad dan makhluk kasar. Apabila dia menyerang, kita dapat melihat dengan mata dan kita dapat menghindari serangan agar tidak terkena. Tetapi hawa nafsu bersifat abstrak tidak dapat dirasa dengan tangan dan tidak dapat dilihat dengan mata tetapi tindakkannya lebih kejam dari senjata api.

Oleh itu mengawal nafsu sendiri adalah penting dalam memastikan kita mendapat kejayaan dalam hidup baik di dunia mahupun di akhirat. Janganlah kita mudah terpedaya dengan tuntutan nafsu yang sentiasa disokong oleh syaitan untuk menyesatkan anak-anak Adam.

“Orang yang pandai adalah orang yang mahu menilai nafsunya dan beramal untuk bekal kehidupan selepas mati. Dan orang yang lemah adalah orang yang mengikut hawa nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah (dengan angan-angan yang sia-sia).” (Riwayat Iman Ahmad).

Anda ada pandangan yang berbeza? Luahkan di sini untuk dikongsikan bersama rakan ahli yang lain.

NURKILAN:

Ustz Muda 5454™