Soalan:
Apakah hukumnya memuaskan nafsu syahwat dengan sendiri hingga keluar air
mani. Adakah ianya termasuk dalam dosa dosa besar (berzina), apakah hukumnya
dan bagaimanakah caranya untuk bertaubat?
Hamba Allah, Beranang
Jawapan:
Onani yang dilakukan seorang lelaki dengan memainkan alat kelaminnya dengan tangannya
sendiri termasuk suatu perkara yang merosak unsur etika dan adab. Para ulama sendiri
berbeza pendapat dalam menetapkan hukumnya. Sebahagian ulama mengatakan bahawa
onani tersebut hukumnya haram secara mutlak. Sedangkan sebahagian lain mengatakan
haram dalam suatu keadaan dan wajib dalam keadaan lain dan sebahagian yang lain
mengatakan hukumnya makruh.
Menurut mazhab Syafie dan mazhab Maliki melakukan onani itu hukumnya haram. Alasan
mereka adalah bahawa Allah SWT telah menyuruh manusia untuk menjaga faraj atau
kemaluan dalam segala keadaan kecuali untuk menjimak isteri. Dalam ayat Al Quran
dijelaskan:
"Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka
atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang
tiada tercela. Barangsiapa yang mencari selain daripada itu, maka mereka itulah
orang-orang yang melampaui batas". (Al Mukminun ayat 5 - 7)
Adapun di antara ulama yang mengatakan bahawa onani dengan tangan sendiri itu haram
dalam suatu keadaan dan wajib dalam keadaan lain adalah ikut pengikut Imam Hanafi.
Pendapat ini mengatakan bahawa andaikata seseorang dikhuatirkan akan berbuat zina maka
wajiblah ia menyalurkan nafsu seksualnya dengan onani. Pendapat ini mengikuti kaedah "Jika
berkumpul dua bahaya, maka wajiblah kalian mengambil bahaya yang paling ringan".
Diantara yang berpendapat makruh ialah Ibnu Umar dan Atha' . Dan diantara yang
berpendapat mubah ialah Ibnu Abbas, Hasan dan sebahagian pembesar tabi'in.
Cara yang paling baik untuk bertaubat dari pekerjaan "melampaui batas" ini dengan
banyak berpuasa, berzikir dan jangan tinggalkan perkara wajib seperti solat dan sebagainya.
Sebab dalam hadis juga ada menjelaskan jika tidak mampu untuk berkahwin maka
berpuasalah agar syahwat kita terpelihara